FOR A CLEAN, PROGRESSIVE & CARING SELANGOR

TOGETHER WE CAN DO IT .....

Thursday, March 6, 2008

SEDUTAN DARI "ISU RAKYAT" EDISI PILIHANRAYA KE 12

Parlimen Rakyat Untuk Mempertingkatkan Kualiti Perkhidmatan MPAJ

Calon PAS bagi N.21 Chempaka, Iskandar A. Samad (gambar bawah) mencadangkan diwujudkan Parlimen Rakyat untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Beliau mencadangkan agar diadakan satu perhimpunan bulanan di mana ahli-ahli majlis MPAJ akan bertemu penduduk di Ampang Jaya.
Menurutnya, di dalam perhimpunan yang terbuka kepada setiap penduduk di bawah tadbir MPAJ, ahli-ahli majlis mesti menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh penduduk.

Iskandar berkata, MPAJ telah dilaporkan oleh banyak akhbar sebagai penguasa tempatan yang paling bermasalah di Selangor dan beliau berpendapat ianya adalah akibat campurtangan politik.
”Hari terbuka MPAJ di mana penduduk dapat bertemu pegawai-pegawai MPAJ adalah tidak begitu berkesan kerana kadang kala ahli-ahli majlis yang merupakan pimpinan parti-parti politik Barisan Nasional adalah lebih berkuasa”, tambah Iskandar.

”Saya berharap dengan adanya perhimpunan ini maka akan dapat diwujudkan ketelusan”, kata Iskandar lagi.

Mengulas tentang perkhidmatan yang buruk diterima oleh penduduk, beliau berkata kontraktor-kontraktor MPAJ hendaklah dilantik berdasarkan kewibawaan mereka bukan kerana hubungan mereka dengan pemimpin politik.

”Kita kadang-kala melepaskan geram kepada kakitangan-kakitangan MPAJ tetapi yang sebenarnya berkuasa adalah pemimpin-pemimpin politik”, tambah Iskandar.

Menangani Masalah Jenayah Di DUN Chempaka Perlu Pendekatan Baru

Calon PAS bagi N.21 Chempaka berpendapat pihak polis perlu mewujudkan hubungan dua hala dengan masyarakat.

Iskandar A. Samad mahu anggota polis juga melakukan rondaan berjalan kaki dan bukan sekadar menggunakan kereta peronda. Beliau juga menggesa anggota polis lebih mesra dan mengenali penduduk di mana mereka meronda.

Menurutnya, adalah lebih mudah bagi mereka untuk mengesan jenayah-jenayah seperti pecah rumah dan ragut sekiranya mereka mengenali setiap penduduk. Mereka sudah tentu akan dapat mengesan perkara-perkara yang mencurigakan jika mereka telah menjadi sebahagian dari masyarakat.

Beliau juga mahu setiap taman atau lokaliti diperuntukkan sekurang-kurangnya seorang anggota polis yang akan bertanggunjawab akan taman atau lokaliti tersebut.

Mereka hendaklah mewujudkan hubungan dua hala dengan penduduk di situ. Mereka juga perlu terlibat dengan aktiviti-aktiviti penduduk seperti program-program kemasyarakatan tanpa mengira fahaman politik penduduk.

Di Britain yang melaksanakan konsep ini yang dikenali sebagai “community policing”, terdapat penduduk yang menjemput polis yang meronda berjalan kaki untuk minum teh bersama mereka.

Ianya juga dapat mengelakkan sebarang amalan yang tidak diingini seperti rasuah kerana anggota polis yang meronda dikenali oleh penduduk.

Iskandar juga memberitahu beliau pernah bertemu dengan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya beberapa tahun lepas dan diberitahu pihak polis kekurangan anggota.

Menurut Iskandar, nisbah anggota polis kepada penduduk yang dicadangkan oleh Interpol adalah 1:250, di Singapura nisbahnya adalah 1:295, Thailand 1:228 dan India 1:728 tetapi di Malaysia adalah 1:1573.

”Saya bersimpati dengan pihak polis yang mempunyai beban kerja yang berlebihan dan berharap agar kekayaan negara digunakan untuk menjamin keselamatan rakyat dan bukan untuk menjadikan para kroni kaya raya”, kata Iskandar.

Masalah Tikus Di Taman Dagang

Kesihatan penduduk rumah pangsa Taman Dagang adalah terancam akibat dari masalah tikus di sana.

Menurut mereka, terdapat ratusan jika tidak ribuan ekor tikus yang bersarang di bawah bangunan. Pada lazimnya, tikus-tikus itu akan keluar di waktu malam tetapi terdapat yang berkeliaran di siang hari malah ditakuti oleh kucing-kucing di taman itu.

Di dalam tinjauan Calon N.21 Cempaka, Iskandar A. Samad ke taman itu mendapati terdapat banyak sumber-sumber makanan seperti di dalam longkang yang mungkin telah menggalakkan pembiakan tikus-tikus itu.

Iskandar berharap selain dari operasi besar-besaran untuk menghapuskan makhluk perosak itu, beliau juga mahu tahap penyelenggaraan taman itu dipertingkatkan.

Menurutnya, pertandingan menangkap tikus yang pernah dianjurkan itu tidak akan menyelesaikan masalah penduduk untuk jangkapanjang.

Bantahan Mewajibkan Penduduk Membeli Tong Sampah Seragam Satu Kejayaan Bagi Iskandar

Kejayaan bantahan terhadap arahan MPAJ agar penduduk membeli tong sampah yang seragam merupakan di antara kejayaan besar Iskandar A. Samad, calon PAS bagi N.21 Chempaka.

Beliau yang memimpin Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Ampang Jaya telah mencabar arahan MPAJ untuk mewajibkan penduduk membeli tong-tong sampah MGB120 dan MGB 240 yang berharga di antara RM150 dan RM240 yang akan membebankan rakyat.

Arahan yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Jun 2006 telah ditarikbalik setelah kempen yang dijalankan melalui media dan pungutan tandatangan.

Pasar Di Pandan Indah

”Kami mahu pasar yang kekal”, begitulah permintaan ramai penduduk Pandan Indah ketika bertemu dengan calon PAS bagi N.21 Chempaka, Iskandar A. Samad.

Menurut mereka, terdapat pasar kekal di Ampang Tasik, Pandan Jaya dan Taman Nirwana tetapi hanya sebuah pasar sementara di tempat letak kereta stesyen LRT Pandan Indah.

Oleh itu, Iskandar berharap agar permintaan penduduk itu dapat dipenuhi oleh pihak yang bertanggung jawab.

Perpustakaan Komuniti Untuk Ampang Jaya

Calon PAS bagi N.21 Cempaka, Iskandar A. Samad mencadangkan satu perpustakaan komuniti dibina untuk kawasan yang ditadbir oleh MPAJ.

Menurutnya perpustakaan komuniti selain dari tempat penduduk merujuk atau meminjam buku ianya juga boleh dijadikan pusat bagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Pelajar-pelajar juga boleh menggunakannya untuk mengulangkaji.
,
Beliau yakin perpustakaan itu dapat menyuburkan budaya ilmu di kalangan para remaja dan menjauhkan mereka dari aktiviti yang kurang sihat.

Iskandar berkata, penduduk seluruh Ampang Jaya adalah lebih kurang 500,000 orang dan menurut piawaian antarbangsa, bagi setiap 1,000 orang penduduk perlu diperuntukkan ruang 300 kaki persegi maka anggaran kosnya adalah RM30 juta.

”Perpustakaan komuniti Petaling Jaya adalah satu contoh perpustakaan komuniti yang perlu ada di Ampang Jaya”, tambah Iskandar.

Jejantas Ke Padang Perbandaran Ampang Jaya

Calon PAS bagi N.21 berharap MPAJ dapat membina sebuah jejantas menghubungi taman perumahan di sebelah Balai Bomba Pandan Indah dan Padang Perbandaran Ampang Jaya.

Satu surat permohonan telah dihantar kepada MPAJ pada bulan Disember lepas dan satu sidang akhbar telah dipanggil oleh beliau. Walau bagaimanapun hingga ke hari ini, MPAJ belum lagi menjawab surat beliau.

Beliau berharap lintasan lampu isyarat dapat disediakan sementara menunggu jejantas dibina kerana setakat ini 3 orang penduduk tempatan, termasuk 2 orang kanak-kanak, telah dilanggar kereta.

Sampah Tidak Diangkat Dan Penduduk Dirompak

Penduduk Taman Chempaka di dalam satu dialog dengan calon PAS bagi N.21 Iskandar A. Samad pada 2 Mac lepas, memberitahu bahawa sampah di taman mereka tidak diangkat sehingga berulat.

Mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kontraktor yang dilantik oleh MPAJ dan berharap calon PAS itu dapat membantu mereka. Iskandar kemudian berjanji akan melaporkan perkara itu.

Penduduk Dirompak

Sehubungan itu, seorang penduduk Taman Chempaka mengadu telah dirompak pada 11 Februari lepas tetapi sehingga kini tiada sebarang dakwaan walaupun satu laporan polis telah dibuat.

Mangsa, Mastura binti Abdul Jabbar, telah diserang dan dirompak ketika sedang berada di dalam kereta di Jalan Chempaka 17.

Beliau hairan kenapa tidak ada sebarang dakwaan kerana penyerang itu telah dikenalpasti dan dia telah sekali lagi melakukan satu rompakan pada 23 Februari lepas di Jalan Chempaka 6.

Menurut Iskandar, ini bukan kali pertama perkara sedemikian telah berlaku. Pada 28 September tahun lepas, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Sdra. Suhaimi Ghazali telah dipukul di Kg. Pandan. Satu laporan polis telah dibuat pada keesokan harinya tetapi hingga ke hari ini belum ada sebarang dakwaan dan penyerang yang kenali ramai sebagai ”Orang Kuat Datuk” masih bebas..

”Saya amat bimbang apabila terdapat campurtangan politik di dalam penguatkuasaan undang-undang kerana keselamatan rakyat tidak akan lagi terjamin”, kata Iskandar.

Wujudkan Balai Belajar Di Semua Rumah Pangsa

Calon PAS bagi N.21 Chempaka, Iskandar Abdul Samad, mahu setiap kawasan perumahan rumah pangsa disediakan balai belajar untuk pelajar-pelajar mengulangkaji atau membuat kerja rumah.

Menurut beliau, saiz rumah pangsa yang kecil lebih kurang 600 kaki persegi kadang kala tidak begitu selesa bagi pelajar-pelajar untuk belajar.
Katanya, pelajaran amat penting dan berharap balai-balai belajar dapat diwujudkan untuk kepentingan generasi muda.

”Kita hanya melihat balai dan dewan milik parti-parti poltik seperti UMNO dibina di atas tanah-tanah awam milik rakyat maka saya berharap agar kepentingan politik diketepikan dan kita memikirkan masa depan anak-anak kita”, nasihat Iskandar.

PAS Berkhidmat Kepada Rakyat Sepanjang Masa

PAS Kawasan Pandan sentiasa menabur bakti kepada rakyat sepanjang masa tanpa mengira musim pilihanraya atau tidak.

Iskandar Abdul Samad, Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan yang juga calon PAS bagi N.21 Chempaka memberitahu PAS mempunyai sebuah pusat khidmat masyarakat di Kg. Pandan Dalam yang telah dibuka sejak bulan Mac 2006.

Pusat ini menerima aduan dari orang ramai dan menyalurkannya kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab. Selain dari itu, ia turut menawarkan khidmat nasihat guaman, kursus-kursus motivasi dan rawatan perubatan Syifa’ serta menganjurkan hari-hari kesihatan.

Menurutnya, PAS telah juga membeli sebuah premis di Taman Angsana Hilir pada akhir tahun lepas untuk dijadikan cawangan kepada pusat itu..

Kg. Pandan Bakal Pupus?

Menurut calon PAS bagi N.21 Chempaka, Iskandar Abdul Samad, kedudukan Kg. Pandan yang begitu strategik akan menjadikannya sasaran kepada pemaju-pemaju hartanah.

Lokasinya di tepi Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) dan hanya setengah jam dari pusat bandaraya Kuala Lumpur membuatnya paling sesuai untuk pembangunan kediaman mewah, kata Iskandar yang pernah terlibat di dalam projek-projek mega di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdapat beberapa projek perumahan bernilai tinggi di sekitar Kampung Pandan dan ada yang dipasarkan kepada warga asing seperti dari Korea Selatan, tambah Iskandar lagi.

Iskandar berpendapat dengan siapnya terowong SMART, Kg. Pandan telah menjadi lebih hampir kepada Lebuhraya Utara-Selatan dan akan menjadi sasaran kepada pelabur-pelabur dari Singapura kerana ia hanya 3 jam perjalanan dari republik itu.

Walaupun pajakan tanah-tanah di Kg. Pandan berbaki lebih kurang 70 tetapi pengambilan tanah di Malaysia seperti di Kerpan sering berlaku.

Oleh itu, Iskandar berharap penduduk dianugerahkan geran kekal (freehold title) sebagai jaminan tanah mereka tidak akan diambil alih.

Selain dari itu beliau juga mahu kerajaan memberikan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada penduduk yang mahu menaiktaraf kediaman mereka kerana terdapat banyak rumah-rumah di kampung itu yang perlu dibaikpulih.

Papan Iklan Gergasi Di MRR2

Calon PAS bagi N.21, Iskandar A. Samad mahu MPAJ mengkaji balik lesen-lesen yang diberi untuk papan-papan tanda gergasi sepanjang Jalan Lingkaran Tengah (MRR2).

Menurutnya, pada awal tahun lepas sebuah papantanda telah tumbang dan pihak MPAJ mengesahkan ianya dibina tanpa kebenaran.

Di dalam satu sidang akhbar pada bulan Januari lepas, Iskandar telah menyarankan MPAJ melakukan siasatan terperinci terhadap semua papan iklan.

”Ada yang terbengkalai dan ada yang dibina terlalu dekat dengan kawasan sekolah yang boleh membahayakan pelajar-pelajar”, kata Iskandar.

No comments: